Monday, January 12, 2009

Maksud Kasih, Cinta & Sayang

1. Antara Kasih,Sayang, dan Cinta


Kasih...
rasa simpati...
tak sampai hati
wujud dengan sendiri..
mungkin tak bererti dia ku miliki..


Sayang...
alang kepalang takut akan hilang..
jika tiada pasti merana
itulah sifat manusia...
anugerah tuhan yang maha esa.


Cinta...
bagai adam dan hawa..
jika terpisah hati akan resah.
jika hilang pasti bimbang..
antara kasih dan sayang
cinta begitu mendalam..
berputik dari kasih..
berbunga dari sayang..
berbuahkan cinta..
pohon yang sempurna
jika di bajakan rasa cinta..




2. Makna Kasih, Sayang dan Cinta Dalam Islam


Makna kasih, sayang dan cinta dalam Islam sungguh besar pengertiannya. Sebab itu, dalam konteks cinta dan kasih sayang kepada Allah S.W.T, adalah termasuk dalam perkara yang disebut sebagai "halawatul Iman" (kemanisan Iman) atau nikmat yang sebenar. Dengan ertikata lain, keimanan yang hakiki akan tercapai apabila kita dapat meletakkan setinggi-tinggi kasih dan sayang kita kepada Allah S.W.T dan Rasul-Nya.Begitu juga dalam konteks menghormati ibubapa.

Islam mengajar kita supaya "birrul waalidain" atau berbuat baik kepada kedua ibubapa. Maksud berbuat baik itu bukan sahaja mencakupi perkara-perkara atau perbuatan-perbuatan yang baik sahaja, bahkan disudut hati nurani kita mestilah tersimpan rasa amat kasih dan sayang kepada kedua ibubapa.

Sebab itulah al-Quran menjelaskan kepada kita bahawa bukti dan kasih sayang kepada kedua ibubapa itu diterjemahkan kepada "walaa takullahuma uffin" atau jangan kita berkata 'uh' kepada keduanya. Ucapan sebeginipun dianggap sebagai suatu perkara yang amat dibenci oleh al-Quran.

Kerana melalui perkataan itu akan melahirkan bibit-bibit kebencian dan seterusnya melunturkan rasa kasih sayang terhadap kedua ibubapa.Dalam hubungan kenegaraan, persoalan kasih dan cinta ini ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w sebagai "hubbul watan minal iman" atau cinta dan kasih kepada negara itu adalah sebahagian daripada tuntutan iman.

Semangat cintakan negara ini adalah antara agenda yang diperjuangkan oleh baginda Rasulullah s.a.w dan para sahabat selain persoalan iman dan akidah. Perkara utama yang diperjuangkan oleh Rasulullah s.a.w ialah mempertahankan kedaulatan negara. Iaitu meletakkan dalam diri bahawa kasih sayang dan sumpah setia harus ditumpahkan kepada negara itu sendiri.

Justeru, dalam suasana tersebarnya khabar angin dan perbuatan khianat yang berlaku dalam negara sejak kebelakangan ini sewajarnya kita harus mengambil pengajaran dan iktibar dari apa yang berlaku.

Kita harus memerangi petualang-petualang dan pengkhianat-pengkhianat negara yang sentiasa mencari kesempatan dan peluang. Mereka sentiasa mencari peluang untuk menjejaskan keamanan, kestabilan dan kesejahteraan negara dan sentiasa berusaha untuk menghancurkan negara ini.

Oleh yang demikian umat Islam haruslah menyedari hal ini dan janganlah terikut-ikut dengan arus pembawaan mereka atau termakan jarum-jarum yang dimainkan oleh musuh-musuh negara yang ingin mengkhianati negara ini.Kita sepatutnya sedar, tidak ada suatu keuntungan sedikitpun yang akan memihak kepada kita jika bersekongkol dengan pengkhianat-pengkhianat ini.

Kita juga tidak akan mendapat manfaat sedikitpun jika kita memenuhi kehendak-kehendak orang yang cuba meracuni negara kita dengan berita-berita palsu, khabar-khabar angin dan fitnah-menfitnah antara satu sama lain.Jadi kita menyeru kepada seluruh masyarakat Islam khususnya dan rakyat Malaysia supaya sama-sama berwaspada dengan mereka ini. Kerana dalam keadaan suasana yang sebegini ada musuh-musuh Islam dan negara yang ingin "menangguk di air keruh" dengan mengambil kesempatan supaya masyarakat kita tidak lagi berasa aman dan tenteram.


By Nurul Hikmah [Nuwul]

No comments:

Post a Comment